SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan FA QF1 | Kuching City FC 2-1 Selangor FC | Masa Untuk Kembali Bangkit

Jun 30, 2024 - FAS

Selangor FC terpaksa akur dengan keputusan di Stadium Negeri Sarawak semalam selepas tewas di tangan Kuching City FC (KUC) dalam pusingan Suku Akhir pertama Piala FA 2024/25.

Biarpun keputusan tidak memihak kepada skuad Merah Kuning untuk pusingan kali ini dengan keputusan 1-2 tetapi pasukan masih mampu bangkit dan layak ke pusingan seterusnya kerana ada perlawanan timbal balik. 

Menurut Nidzam Jamil, Ketua Jurulatih Selangor FC, yakin pasukan akan kembali bangkit di laman sendiri, “Bukan keputusan yang kami mahukan tetapi kita bertuah kerana masih ada 90 minit untuk mendapatkan kemenangan. Saya akan tetap berada di belakang pemain-pemain dan saya yakin mereka beraksi dengan baik pada malam semalam terutamanya di separuh masa kedua. Mereka juga tidak mahu keputusan terhenti setakat ini dan mahu mempamerkan aksi yang terbaik di laman sendiri serta mahu pasukan layak ke pusingan seterusnya,” jelas Nidzam Jamil.

Daripada perlawanan #KUCSFC dalam saingan Piala FA pusingan Suku Akhir semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-

Penyerang import baharu, Ronnie Fernandez, terus menjaringkan gol

Selepas menjaringkan tiga gol dalam saingan Liga Super 2024/25, Ronnie berjaya membuka akaun jaringan Piala FA beliau pada minit ke-34 dalam aksi #KUCSFC semalam. Ini merupakan jaringan beliau untuk dua perlawanan berturut-turut. 

Pemain masih menunjukkan perjuangan

Menurut sidang media yang berlangsung selepas perlawanan #KUCSFC, ketua jurulatih Selangor FC menyatakan bahawa pemain masih berada dalam keadaan mahukan kemenangan. Mereka akan bangkit semula dalam perlawanan Suku Akhir kedua dan berusaha untuk tidak mengecewakan para penyokong dan kelab di laman sendiri.

Skuad Gergasi Merah masih mempunyai satu lagi perlawanan untuk mendapatkan kemenangan sekaligus layak ke pusingan seterusnya. Perlawanan pusingan kedua akan berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 6 Julai ini jam 9 malam.

Pihak pengurusan Selangor FC ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyokong yang bersama-sama terbang ke negeri Sarawak untuk perlawanan #KUCSFC Piala FA 2024/25. Semoga pulang dengan selamat.

Demi Kebanggaan!